Friday 22 February 2013

Cintai Alam Sekitar - TEOH YING HUA


Cintai Alam Sekitar
Kepentingan Menjaga Alam Sekitar
          Alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan. Manusia banyak bergantung kepada sumber-sumber semulajadi di muka bumi ini. Allah telah mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran munusia. Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia, gunung-gunung sebagai pemasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, demikian juga dengan pelbagai jenis haiwan dan hidupan di lautan. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita suasana yang selesa dan menyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, ia juga sedikit sebanyak akan terjejas akibat aktiviti-aktiviti pembangunan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik.

        Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang bersih merupakan nikmat yang sangat bernilai kepada kehidupan manusia. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya.

           Udara dalam alam sekitar kita yang bersih dan segar juga membolehkan kita menikmati keselesaan. Kita akan berasa selasa jika tiada gangguan di persekitaran kita. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan dan membolehkan kita menjalani kehidupan dalam keadaan cuaca yang baik. Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan rimas marah dan tidak selesa. Aktivti riadah yang dijalankan dalam keadaan bersih akan meningkatkan tahap kesihatan kita.

     Selain itu, penanaman pokok-pokok haruslah dirancang dengan teratur dari semasa ke semasa. Penanaman tumbuhan hijau bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman, malah berfungsi untuk menstabilkan suhu persekitaran. Penanaman pokok-pokok ini juga bertujuan mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida. Akhirnya, pemanansan global dapat dikawal dan akan dapat menstabilkan ekosistem persekitaran. Penjagaan sumber-sumber alam sekitar seperti pokok-pokok akan dapat membendung pelbagai masalah, sebagai contoh hutan mengawal hakisan tanah dan banjir. Hutan juga menjadi salah satu sumber ekonomi negara kita.


         Malahan, air merupakan sumber asli yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Air sangat diperlukan oleh tubuh badan manusia sehinggakan manusia boleh hidup bertahan beberapa hari dengan air sahaja tanpa makanan. Tubuh kita mengandungi lebih kurang 70% air. Sekiranya kehilangan air, hal ini akan mengakibatkan kita kehilangan tenaga. Air bukan sahaja penting kepada manusia malah kepada hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang turut memerlukan air. Air yang suci dan bersih merupakan penjana kepada kehidupan di muka bumi. Oleh kerana air merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia, masyarakat  haruslah berganding bahu dalam memelihara dan menjaga kebersihan air terutamanya menjaga keselamatan alam sekitar daripada sebarang pencemaran.

              Tambahan pula, alam sekitar yang dijaga oleh semua lapisan masyarakat dapat mengelakkan kepupusan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah merupakan salah satu sumber makanan kepada manusia. Pencemaran alam sekitar yang dilakukan akan menyebabkan kemusnahan habitat haiwan dan akan menyebabkan sumber makanan manusia akan berkurang, sebagai contoh hidupan laut seperti udang, ikan dan seumpamanya merupakan sumber makanan yang mengandungi protein yang dapat menstabilkan kesihatan manusia. Sekiranya kita melakukan sebarang pencemaran laut seperti pembuangan sisa toksik ke dalam laut, kepupusan hidupan laut akan berlaku. Manakala, tumbuh-tumbuhan pula menjadi sumber kepada perubatan seperti herba untuk pesakit. Alam sekitar yang tidak tercemar membolehkan habitat hidupan darat dan air terpelihara.

           Di samping itu, alam sekitar yang bersih akan dapat meningkatkan ekonomi negara. Sesebuah masyarakat yang bersih dan mengandungi nilai kedamaian akan dapat menarik perhatian pelancong asing. Kedatangan pelancong asing ke dalam negara kita akan meningkatkan nilai tukaran wang asing, dan ini akan dapat memajukan perkembangan ekonomi negara kita. Selain itu, kedatangan pelancong juga dapat memajukan sektor perkhimatan dan sektor perniagaan serta menawarkan peluang perkerjaan kepada masyarakat. Dengan ini, imej negara kita akan dapat ditingkatkan.

           Kesimpulannya, pemeliharaan muka bumi perlu dijalankan bagi menjamin bekalan sumber makanan, sumber kesihatan untuk  menghasilkan ubat-ubatan, Ia turut berperanan sebagai sumber kecantikan, keindahan dan kedamaian di samping udara yang bersih. Justeru, semua lapisan masyarakat haruslah bekerjasama dan saling membantu dalam memelihara alam sekitar supaya  kebersihan alam sekitar dapat ditingkatkan dalam kehidupan kita.


                                           
Punca Berlakunya Pencemaran Alam Sekitar

       Akta  Kualiti  Alam  Sekeliling  1974  mengandungi  peruntukan  yang  bertujuan mencegah,  menghapus,  mengawal  pencemaran  serta  memperbaiki  kualiti  alam  sekeliling dan  dari  aspek  yang  sering  dikaitkan  dengan  alam  sekitar  iaitu  pencemaran  yang membawa  kepada  maksud  apa-apa  perubahan  secara  langsung  dan  tidak  langsung  terhadap sifat-sifat  fizikal,  haba  dan  kimia  termasuk  kesan  biologikal  terhadap  alam  sekeliling  yang meliputi  pencemaran  air,  udara,  bunyi,  tanah  dan  laut  dan  untuk masalah  ini,  pelbagai  punca  telah  dapat  dikenal  pasti  yang  menyumbang  kepada  pencemaran  alam  sekitar.

            Antara  punca  yang  telah  dapat  dikenal  pasti  yang  membawa  kepada  masalah   pencemaran  alam  sekitar  ini  ialah  masalah  sikap  individu  dan  organisasi  yang  tidak bertanggungjawab.  Hal  ini  jelas  kerana  tiada  kesedaran  sivik  dalam  diri  mereka  untuk menjaga  alam  sekitar  kerana  bagi  sesetengah  individu,  mereka  akan  sewenang-wenangnya membuang  sampah  merata-rata  tanpa  menghiraukan  keadaan  persekitaran  dan  mungkin mereka  merasakan  itu  adalah  perkara  remeh  apabila  mencampakkan  secebis  tisu  atau  sisa makanan  di  tepi  jalan.  Manakala  untuk  organisasi  seperti  kilang  yang  menjalankan  operasi pengeluaran  yang  melibatkan  sisa  toksik  dalam  penghasilan  keluaran  mereka,  pada  kebiasaannya  kilang  itu  akan  mengambil  langkah  mudah  apabila  membuang  sisa  toksik tersebut  terus  ke  dalam  laut  dan  sungai  jika  kilang  itu  didirikan  berdekatan  dengan kawasan  tersebut.  Ini  akan  mengakibatkan  pencemaran  air  dan  kilang  yang  melepaskan asap  tanpa  pemasangan  alat  penapis  udara  akan  menyebabkan  terjadinya  pencemaran udara.  Hal  ini  berikutan  sikap  individu  dan  pemilik  kilang  yang  tidak  bertanggungjawab dan  peka  pada  persekitaran  sekeliling  hasil  dari  pencemaran  alam  sekitar  yang  mereka cipta  sendiri.

     Di  samping  itu,  penggunaan  kenderaan  bermotor  seperti  kereta,  motosikal,  lori  dan kapal  terbang  juga  merupakan  salah  satu  dari  penyumbang  kepada  berlakunya  pencemaran alam  sekitar  seperti  pencemaran  udara  dan  pencemaran  bunyi.  Hal  ini  kerana  setiap  kenderaan akan  melepaskan  asap  kenderaan  yang  mengandungi  gas  yang  berbahaya.  Hal  ini  jika peningkatan  taraf  hidup  masyarakat  terus  meningkat  pada  zaman  sekarang  maka  tahap pencemaran  juga  akan  turut  meningkat  berikutan  semakin  bertambah  jumlah  penggunaan bilangan  pengguna  jalan  raya  yang  selesa  menggunakan  kenderaan  mereka  sendiri  untuk bergerak  ke  destinasi  yang  ingin  dituju  berbanding  beramai-ramai  menggunakan  kenderaan  awam  yang  semestinya  dapat  mengurangkan  bilangan  kenderaan  di  jalan  raya. Hal  ini  akan  menyebabkan  pencemaran  udara  dan  seterusnya  menjejaskan  sistem  pernafasan  dan  daya  penglihatan  manusia  serta  pencemaran  bunyi  yang  terhasil  oleh  kapal  terbang  yang  berlepas  atau  mendarat  terutama  dikawasan  perumahan  yang berhampiran  dengan  lapangan  terbang   boleh  menjejaskan  daya pendengaran  manusia.  Hal  ini  jelas  menerangkan  bahawa  penggunaan  kenderaan  bermotor  juga  menjadi  salah  satu  punca  berlakunya  pencemaran  alam  sekitar.

            Antara  punca  lain  penyebab  berlakunya  pencemaran  alam  sekitar  ialah  pembakaran  secara  terbuka.  Hal  ini  jelas  dapat  dilihat  berikutan  pembakaran  pokok-pokok  tua  di  kawasan  ladang  dan  hutan  untuk  tujuan  penanaman  semula.  Jika  dilihat  dari  satu  sudut,  penanaman semula  sememangnya  sangat  baik  tetapi  akibat  daripada  pembakaran  secara  terbuka  yang  dilakukan  oleh  sesetengah  pihak  sebenarnya  boleh  menyebabkan  berlakunya  pencemaran  udara.  Di  samping  turut  memusnahkan  kehidupan  flora  dan  fauna  disekitarnya.  Disebabkan  pembakaran  secara  terbuka  ini  jugalah  suhu  bumi  menjadi  semakin  meningkat  dan  keadaan  cuaca  di  bumi  semakin  panas.  Inilah  sebenarnya  akibat  daripada  pembakaran  secara  terbuka  yang  dijalankan  yang  akhirnya  membawa  kepada  pencemaran  alam  sekitar  serta  sekali  gus   turut  menjejaskan  kehidupan  dan  kesihatan  manusia.

            Tambahan  pula,  kurangnya  peranan  yang  dimainkan  oleh  pihak  kerajaan  juga  menjadi  salah  satu  punca  terus  berlakunya  pencemaran  alam  sekitar  pada  masa  ini.  Pihak  kerajaan  seharusnya  membuka  mata  dan  lebih  peka  terhadap  pembangunan  yang  dijalankan  oleh  semua  pihak  dengan  mengambil  kira  masalah  pencemaran  yang  bakal  terjadi  dari  setiap  projek  pembangunan  tersebut  dan  bukan  hanya  melihat  kepada  peningkatan  taraf  hidup  masyarakat  sahaja.  Perkara  ini  sangat  penting  untuk  membantu  mengurangkan  pencemaran  udara,  air,  tanah  dan  bunyi,   hasil  daripada  pembangunan  pesat  yang  giat  dijalankan  dan  tingkah  laku  sesetengah  organisasi  dan  masyarakat  yang  kurang  kesedaran  sivik.  Oleh  disebabkan  kerajaan  kurang  memainkan  peranan  dalam  menilai  aspek-aspek  inilah  yang  menyebabkan  masalah  pencemaran  berada  ditahap  yang  semakin  membimbangkan  pada  masa  kini.

            Kesimpulannya,  punca-punca  pencemaran  yang  telah  dikenal  pasti  ini  harus  diambil langkah  serius  oleh  semua  pihak  dan  organisasi  untuk  mengurangkan  masalah  pencemaran alam  sekitar  baik  daripada  pencemaran  air,  udara,  tanah  dan  bunyi.  Ia  penting  demi  memastikan  kehidupan  dibumi  ini  terjamin  dan  terhindar  dari  masalah  pencemaran  yang  semestinya  membahayakan  dan  mengancam  kesihatan  serta  kehidupan  flora  dan  fauna  untuk  generasi  akan  datang  yang  lebih  baik  dan  sihat  serta  bebas  dari  pencemaran  alam  sekitar.      

 

Langkah-langkah untuk Menjaga Alam Sekitar

       Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi. Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya digunakan pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi. Oleh itu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar  langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.

         Langkah pertama adalah melalui pendedahan media massa. Media massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar . Pada era pascaglobalisasi ini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian kerana setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Pihak-pihak berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.

       Selain itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan  sisa pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini.

      Langkah ketiga bagi mengatasi pencemaran alam sekitar pula ialah melalui organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan juga syarikat-syarikat tertentu. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah dalam pelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat menengah khususnya dalam pelajaran sains seperti Biologi dan di peringkat pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru sekolah haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cinta akan alam sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan cinta alam sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah. Pertandingan kelas terbersih di  antara kelas juga perlu dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan dengan proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan hubungannya dengan hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan alam sekitar akan dapat dipupuk dalam diri pelajar           .

    Langkah seterusnya ialah melalui penggunaan teknologi moden. Penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting. Penggunaan teknologi moden dapat mengawal dan mengurangkan pencemaran dengan lebih cepat dan efektif. Dengan adanya teknologi moden, tumpahan minyak di lautan adalah lebih mudah dibersihkan tanpa meninggalkan sisa tumpahan minyak. Selain itu, dengan menggunakan teknologi moden kita dapat menjalankan aktiviti kitar semula bahan-bahan buangan dan sisa-sisa pepejal seperti surat khabar, majalah lama, kain dan bahan-bahan plastik. Hal ini sudah tentu  akan dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna. Penggunaan teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian telah dapat mengurangkan kadar gas karbon monoksida yang dilepaskan. Hal ini akan dapat mengurangkan kadar pencemaran udara di sekeliling.

       Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar semakin hari semakin serius. Saya berharap setiap individu dapat mengambil pengajaran tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar agar alam sekitar yang semakin tercemar ini dapat dipulihkan semula dan dapat dijaga dengan lebih baik pada masa hadapan. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan haruslah memainkan peranan penting dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar. Sebagai golongan yang berkuasa mereka pasti dapat menjaga dan mengawal alam sekitar daripada terus tercemar.



 Kesan Pencemaran Alam Sekitar


         Pencemaran alam sekitar telah memberi kesan yang buruk terhadap hidupan di dunia pada masa kini. Di antara kesan utama yang menimpa manusia akibat daripada pencemaran alam sekitar ialah terhadap udara, suhu persekitaran dan lain-lain. Pencemaran pada hari ini semakin berterusan dari semasa ke semasa. Sememangnya pencemaran alam sekitar memberi kesan buruk.

        Pencemaran udara memberi kesan yang sangat buruk terhadap tumbuh-tumbuhan di dunia ini. Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan dengan tiga cara iaitu Nekrosis(Keguguran daun), Klorosis (Pertukaran warna), dan perubahan pertumbuhan. Barli, kapas, gandum dan epal adalah antara tumbuhan yang mudah mengalami kerosakan dengan bahan cemar sulfur dioksida. Selain itu, tomato, kekacang, bayam dan kentang juga mengalami kerosakan dengan adanya gas ozon di udara. Keadaan ini menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk di bumi juga terganggu.
        
       Seterusnya, bahan cemar juga menyebabkan haiwan-haiwan terancam dan terbunuh. Haiwan – haiwan akan kehilangan habitat kerana bahan tercemar telah memusnahkan tempat tinggal mereka .Maka,haiwan -  haiwan terbunuh dan spesis-spesis yang istimewa juga akan menghadapi kepupusan. Bahan-bahan tercemar seperti sulfur dioksida yang terlepas ke udara oleh kenderaan akan menyebabkan penghadaman makanan haiwan terjejas. Hal ini menyebabkan haiwan-haiwan kehilangan nyawa kerana bahan – bahan toksid di udara ini telah diserap ke dalam tubuh badan haiwan tersebut. Sebagai contohnya, gajah,harimau,kuda-kuda,singa dan sebagainya.

        Pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.
          
        Seterusnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Hal ini berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat- tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia.Hal ini membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air.Hal ini juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.

           Selain itu,kesan yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat , persekitaranya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.Sebagai contohnya,kegiatan tsunami yang berlaku di Indonesia telah banyak mengorbankan nyawa manusia dan harta benda. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.
        
         Pencemaran bunyi terhadap dunia pada masa kini termasuklah menggangu persekitaran dengan keadaan bunyi yang bising sehingga tahap yang melampau. Pencemaran bunyi akan menyebabkan keadaan persekitaran sangat bising dan menjadikan kehidupan manusia serta kehidupan lain terganggu. Haiwan juga berasa takut dan ingin berhijrah ke habitat baru yang lebih senyap dan nyaman. Hal ini akan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.
 Pencemaran bunyi menyebabkan kerosakan pada telinga manusia secara serta-merta dan juga secara kronik. Sekiranya telinga menerima bunyi yang kuat iaitu lebih daripada 120 dB, selaput tympanum di dalam telinga akan pecah serta kerosakan tulang kecil pada telinga dan ini menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat iaitu lebih 85 dB dalam masa 8 jam sehari, ia akan merosakkan koklia dan menyebabkan pendengran menjadi tidak berkualiti dan kemungkinan juga akan menjadi pekak secara perlahan-lahan
             
        Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar memang memberi kesan buruk kepada seluruh alam sekitar di bumi ini. Saya berharap pihak berwajib dapat memantau supaya pencemaran ini dapat dikurangkan supaya kehidupan di bumi ini lebih selesa.


Rujukan:
1) Dewan Siswa , March , 2013
2) http://cintaalamsekitar.blogspot.com

TEOH YING HUA 
A3P1

2 comments:

  1. Thanks!!!this is a good essay..keep it up:)

    ReplyDelete
  2. Thanks A Lot , This Essay Helped Me To Finish My Moral Folio 💕 .

    ReplyDelete