Thursday 21 February 2013

REMAJA- Vanerie Prisca (1)


         
           TUGASAN
           PENDIDIKAN MORAL
          SEMESTER DUA
                        TAJUK:REMAJA




          
 

ISI KANDUNGAN
Bil.
Tajuk
1
Remaja dan patriotisme
2.
Remaja sebagai pengguna
3.
Remaja dan gejala sosial
4.
Peranan remaja terhadap keluarga
5.
Rujukan

1. Remaja dan Patriotisme
  Patriotisme (dari perkataan patriot) bererti perasaan dan sifat-sifat mencintai dan bersedia mempertahankan tanahair (tanah tumpah darah, watan).
  Patriotisme bukan sekadar mengibar bendera semasa menyambut ulang tahun Kemerdekaan. Ia juga tidak sekadar beruniform kemas serta aksi berkawat yang tersusun rapi dengan gaya segak dan wajah yang serius. Ia suatu komitmen, suatu perasaan mendalam, suatu semangat yang dihayati, menyerlah serta berkobar-kobar apabila dituntut keadaan.
  Dalam konteks masa kini, patriotisme boleh kita tafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan – ekonomi, politik, sosial, hubungan antarabangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang, dan sebagainya.
  Seseorang yang patriotik sangat prihatin terhadap untung nasib negaranya. Dia akan mudah tercuit dengan sebarang bentuk ancaman atau tindakan yang seakan memperlekehkan negaranya dan mudah terpanggil untuk bertindak balas atau melakukan sesuatu.
  Patriotisme atau sifat patriotik juga harus merangkumi usaha-usaha yang dapat meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia seperti penerokaan dan perkembangan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, model dan kaedah-kaedah pembangunan, kerukunan hidup (seperti perhubungan etnik dan ras), keadilan sosial, keamanan dan kesejahteraan sejagat.
  Patriotisme digalakkan kerana ia menjamin ketahanan nasional. Ia juga dilihat sebagai satu-satunya tenaga yang mampu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman (dari dalam dan luar negeri) dan dengan itu memastikan kestabilan, keutuhan dan kelangsungan sesebuah negara-bangsa.      
Mengapa Patriotisme Penting Sekarang?
 Di kalangan generasi muda khususnya, patriotisme dikatakan semakin menjadi suatu isu penting. Beberapa faktor dapat dikemukakan bagi menyokong kenyataan tersebut.
 
a)      Kehidupan affluent.
Kehidupan yang serba senang dan mudah di kalangan generasi muda masa kini adalah satu faktor yang dikhuatiri mengurangkan semangat patriotisme di kalangan mereka. Pelbagai kemudahan sosial, kemajuan ekonomi, kehadiran berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran, aneka bentuk hiburan, semua ini boleh melekakan/mengalpakan generasi muda daripada hal-hal yang lebih serius seperti soal kedudukan dan kemajuan bangsanya atau peranan dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan negara. Mereka mungkin asyik atau mudah dibuai oleh segala kesenangan dan kemewahan hidup demikian sehingga tidak terpanggil untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan bangsanya, atau beranggapan bahawa soal pembangunan, kemajuan dan masa depan bangsa dan negaranya bukan bidang yang menuntut perhatian mereka.
 
b)      Kekurangan pengetahuan sejarah
 Generasi muda juga didapati cetek pengetahuan tentang latar belakang dan sejarah bangsanya. Keadaan ini terjadi disebabkan Sejarah tidak lagi menduduki tempat yang istimewa seperti sebelum ini. Pengetahuan sejarah tidak dianggap suatu perkara penting di pasaran kerja dan tidak mendapat galakan yang sepatutnya daripada kalangan dewasa. Kegiatan-kegiatan yang dapat mendidik atau mendedahkan generasi muda kepada akar dan sejarah bangsanya seperti melalui pelbagai kegiatan seni dan budaya ternyata amat terhad dan ini tidak membantu memupuk kesedaran dan keinsafan terhadap nasib dan masa depan bangsa dan negara di kalangan mereka. Kekurangan kesedaran dan kefahaman sejarah tentu tidak membantu memupuk patriotisme di kalangan generasi muda.
 
c)      Pengaruh budaya global
 Sehubungan di atas, kini kita juga menyaksikan pelbagai alat elektronik, hiburan, kegiatan seni, makanan dan minuman, bahan bacaan dari luar membanjiri pasaran tempatan. Remaja belia jelas merupakan kumpulan sasar utama bagi segala alat, barangan dan bahan tersebut. Globalisasi tambah memudahkan nilai dan budaya luar (tak kira baik atau buruk bagi masyarakat kita) mempengaruhi generasi muda, menjadikan mereka lebih global.
  Dengan globalisasi yang semakin memecahkan segala tembok sempadan, perasaan sepunya (sense of belonging) turut terhakis. Patriotisme dengan nilai-nilai, semangat dan tindak-tanduk yang bertunjangkan kepentingan nasional sudah tentu terpaksa bersaing hebat dengan pengaruh global yang kuat dan semakin meluas ini.

d)     Nilai-nilai kolektif berkurangan
Begitu juga patriotisme yang menganjurkan nilai dan semangat kolektif seperti keprihatinan sosial, kejiranan, perpaduan/solidariti, kerjasama, perkongsian dan permuafakatan di kalangan anggota-anggota masyarakat terus ditekan oleh individualisme yang semakin membudayai masyarakat, khususnya generasi muda. Kemajuan kebendaan, budaya wang dan keghairahan kepada gaya hidup mewah menguatkan nilai dan sikap individualistik di kalangan remaja belia dan ini memberi kesan langsung terhadap nilai-nilai kolektif dan patriotisme mereka.
 


Memupuk Patriotisme
  Menghadapi keadaan di atas, bagaimanakah patriotisme dapat dipupuk dan diterapkan di kalangan generasi muda kita? Bagi generasi muda di Malaysia, idea patriotisme termaktub di dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (sebelum 1997, Dasar Belia Negara) dan mendasari Program Khidmat Sosial Negara (PKSN) yang diperkenalkan pada lewat 1990-an.
  Kini dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikelolakan kerajaan di bawah Kementerian Pertahanan. Dalam dasar dan melalui program ini peningkatan patriotisme dan semangat kesukarelawanan digalakkan melalui kerja-kerja amal, kebajikan dan kemasyarakatan. Melalui kegiatan-kegiatan tersebut perasaan simpati, bertimbang rasa dan cinta kepada bangsa dan negara akan bercambah dan berkembang.
  Dalam perkara ini, pertubuhan-pertubuhan belia dan sukarela yang lain harus memainkan peranan aktif mereka. Seluruh prasarana, struktur, dan rangkaian kerja belia yang telah wujud sekian lama boleh dimanfaatkan sebaiknya. Dengan program-program yang menarik dan yang boleh mendatangkan kesan positif, para remaja belia kita sepatutnya dapat digemblengkan untuk kegiatan-kegiatan demikian.
  Satu kegiatan lain yang boleh dipertimbangkan ialah pendidikan kepenggunaan. Ini bertujuan menyedarkan belia agar menjadi pengguna yang baik dan berhemat. Isu kepenggunaan amat penting bagi generasi muda kerana mereka sering merupakan sasaran penting pihak industri dan pengeluar barangan. Pelbagai bentuk tarikan, nilai dan selera baru dicipta atau diadakan untuk mempengaruhi dan memperdaya remaja belia agar membeli atau terus berbelanja. Itu sebabnya jika pendidikan kepenggunaan dapat dijadikan suatu program utama dan tersebar luas di kalangan remaja belia ia mampu membantu pembangunan ekonomi kita di samping memanfaatkan kehidupan remaja belia sendiri.


  Di sini perlu diingat bahawa pendidikan kepenggunaan yang dikaitkan dengan patriotisme tidak semestinya bermakna kita cuba mengelakkan remaja belia memilih barangan dan perkhidmatan tempatan berbanding dengan dari yang luar. Selaku pengguna yang bijak remaja belia tentu diharapkan dapat menilai dan menentukan mutu (kualiti) keluaran tempatan berkenaan – bermutu tinggi atau rendah atau tidak bermutu – dan memilih yang bermutu.
  Ketika kemelesetan ekonomi, ada dibangkitkan soal perlunya menggalakkan remaja belia kembali ke “tanah hijau”. Dicadangkan agar pertubuhan-pertubuhan belia di desa khususnya menjalankan kegiatan-kegiatan pertanian dan penternakan dengan galakan dan bantuan oleh pihak-pihak yang boleh memberikan pelbagai kemudahan. Perkara ini wajar diberi perhatian segera. Kemampuan menyediakan keperluan makanan sendiri mesti dipertingkatkan agar bangsa dan negara kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa dagangan dan politik antarabangsa, lebih-lebih lagi dalam keadaan krisis atau ketegangan perhubungan.
  Begitu juga dengan kegiatan-kegiatan yang menjurus kepada pemuliharaan kemampanan sistem ekologi dan alam sekitar. Masalah kekeurangan air yang sering dihadapi negara sepatutnya menyedarkan kita tentang betapa pentingnya manusia mengurus anugerah Tuhan dengan amanah dan penuh rasa tanggungjawab. Sekadar menyalahkan kemarau atau El Nino kerana kekurangan air di dalam sesebuah negara tropika yang banyak hujan ini tentulah sesuatu yang tidak masuk akal.
  Projek-projek pembangunan dan pembinaan yang boleh menyebabkan kehakisan dan meruntuhkan tempat kediaman dan bangunan, serta memusnahkan harta benda juga suatu fenomena buatan manusia yang sepatutnya lebih dapat dikawal kini. Malangnya, pihak-pihak yang bertanggungjawab masih bersikap acuh tak acuh, atau mengemukakan pelbagai alasan dan terus memperjudikan nyawa dan kehidupan rakyat.
  Bagi generasi muda, program ekologi dan alam sekitar boleh merupakan suatu proses pendidikan dan penghayatan nilai murni yang berjangka panjang. Kegiatan-kegiatan seperti mendaki bukit, jungle trekking, kempen cintakan flora dan fauna, berkelah di tepi sungai, laut atau padang lapang, menyelam untuk menikmati keindahan di dasar laut, berkayak, berakit, meneroka gua, berkhemah di dalam rimba, berjalan dan bersiar-siar di tepi tasik, selain bergotong-royong menanam pokok, serta melawan penghakisan dan pencemaran, boleh dilakukan secara terancang dan berterusan. Kegiatan-kegiatan yang menarik dan popular ini boleh dijalankan oleh pelbagai pertubuhan dan kumpulan (belia, sukan dan rekreasi), penduduk, sekolah, jabatan dan lainnya), malah oleh keluarga sendiri.


Kebiasaan dengan kegiatan-kegiatan sebegini memupuk perasaan sayang dan bangga kepada tanahair. Jika dilakukan secara kolektif, ia juga menyemai rasa sepunya dan keazaman untuk sama-sama menjaga khazanah alam yang tak ternilai ini.
  Di samping itu pertubuhan-pertubuhan yang prihatin harus terus-menerus menganjurkan wacana ilmu dan intelektual yang dapat melibatkan generasi muda dalam perdebatan, polemik dan permasalahan serta isu-isu semasa. Penglibatan remaja belia dalam kegiatan ini akan menggalakkan keprihatinan sosial dan sikap bertanggungjawab terhadap bangsa dan negara di kalangan mereka.
  Melalui wacana ilmu dan intelektual maka pengetahuan dan kefahaman mereka tentang sesuatu isu dan permasalahan negara akan meningkat dan ini dapat mendorong komitmen yang lebih tinggi untuk menyumbang kepada negara.
  Jika pandangan, perasaan dan fikiran generasi muda ini diberi perhatian dan dihargai sewajarnya maka mereka tentunya berasa penting dan lebih yakin untuk menjadi peserta yang aktif dalam hal-hal kenegaraan dan kepentingan bersama.
  Sudah tentu patriotisme mesti dipupuk sejak seseorang masih kecil (di rumah) dan di bangku sekolah lagi. Di sini peranan ibu bapa, ahli-ahli keluarga serta guru-guru amat penting. Begitu juga peranan penting yang dapat dan harus dimainkan oleh sistem pendidikan, media cetak dan elektronik, seni-budaya, serta sistem politik (etika dan cara berpolitik, isu-isu yang diperdebatkan, dasar-dasar parti, dan sebagainya), dalam memupuk patriotisme di kalangan generasi muda.

Patriotisme Dalam Konteks Global
  Secara ringkas, dalam konteks global patriotisme menuntut kepekaan, kesedaran dan kefahaman remaja belia tentang isu-isu dan trend antarabangsa dan hubungannya dengan kita sebagai sebuah negara-bangsa. Patriotisme menuntut persiapan dan kesediaan generasi muda menghadapi segala cabaran demi kelangsungan hidup, maruah, kebebasan dan kedaulatan kita.
  Untuk itu tidak cukup sekadar retorika atau slogan dan sepanduk dalam menyatakan sikap atau pendirian. Walaupun tidak dinafikan bahawa slogan dan sepanduk tetap mempunyai peranannya, kuasa-kuasa luar yang dilihat sebagai mencabar atau cuba menggugat kedudukan dan kepentingan kita itu sebenarnya sudah biasa dengan slogan dan sepanduk. Yang mampu membuat mereka berfikir atau menimbang pandangan dan sikap kita ialah keupayaan kita untuk menilai dan mengupas ideologi, motif dan strategi yang mereka cuba kembangkan, canangkan atau aturkan itu. Untuk itu generasi muda perlu menguasai ilmu pengetahuan, kaedah analisis dan berupaya mencetuskan idea-idea alternatif yang dapat menghadapi kemaraan mereka. Dalam kata lain, untuk berdepan dengan mereka kita harus lebih canggih (sophisticated), memahami bahasa dan sepak-terajang mereka.
 
Rumusan
  Patriotisme diperlukan untuk ketahanan nasional dan menjamin kestabilan, keutuhan dan kelangsungan negara-bangsa.
  Kini, oleh sebab pelbagai faktor membantut percambahan dan perkembangan patriotisme khususnya di kalangan generasi muda, maka patriotisme semakin mendapat perhatian luas masyarakat. Ia malahan suatu tuntutan nasional yang mendesak. Pelbagai idea dan rancangan diwujudkan untuk memupuk patriotisme.
  Patriotisme bukan persoalan kecil, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara-bangsa yang baru cuba bertapak dan tegak berdiri di atas dekad dan keyakinan sendiri. Di samping berusaha memupuknya dengan berbagai-bagai cara, langkah-langkah berterusan perlu dibuat bagi mencapai tujuan patriotisme, yakni memastikan kestabilan, keutuhan dan kelangsungan negara-bangsa.

Oleh: Vanerie Prisca a/p Edward John (A2P6)
 

 

No comments:

Post a Comment