Remaja
dan gejala sosial
Gejala sosial yang melibatkan remaja
Remaja merupakan golongan pewaris kepimpinan
hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi &
teknologi telah memberi kesan kepada pembangunan sosial & insaniah remaja.
Kerajaan & juga pelbagai pihak lain berusaha untuk mendidik remaja di dalam
membentuk remaja yang berkualiti untuk memimpin negara dari peringkat sekolah
rendah hinggalah ke peringkat IPT. Namun, di dalam zaman siber ini, keruntuhan
akhlak di kalangan remaja semakin meruncing hingga menimbulkan kebimbangan di
kalangan masyarakat. Jika dulu masalah sosial hanya berlaku di kawasan bandar
yang membangun dan kota besar, masalah sosial ini turut menular di kawasan luar
bandar. Lebih menyedihkan, remaja berusia seawal usia 11 tahun telah pun
terjebak di dalam masalah ini. Di antara masalah yang seringkali berlaku di
kalangan remaja ialah:
1. Samseng
& Gengsterisme
Gejala samseng & gengsterisme yang berlaku di sekolah menengah
semakin membimbangkan. Adakalanya kerana terpengaruh dengan rakan sebaya,
remaja menyertai kumpulan gengster di luar. Kebiasaannya apabila kumpulan
gengster ini dibentuk di sekolah,kumpulan ini akan mengambil kesempatan untuk
membuli pelajar yang lemah. Mereka tidak takut kepada sesiapa kerana merasakan
sudah kuat & boleh membuat apa sahaja. Amaran keras dari pihak sekolah dan
hukuman dibuang atau digantung dari persekolahan tidak menjadi masalah besar
buat mereka. Kumpulan ini bukan sekadar membuli pelajar yang lemah, malah ada
yang lebih berani mula terbabit di dalam penyalahgunaan dadah, mencuri,
mengugut & yang lebih kronik terbabit dalam jenayah berat seperti merogol
& membunuh.
Tidak terkecuali juga bagi remaja yang terlibat di dalam kumpulan punk
& skin head. Sungguhpun mereka mengatakan bahawa mereka menyertai kumpulan
ini sekadar suka-suka & tidak terbabit di dalam kes jenayah, terdapat juga
laporan di dalam media cetak sesetengah kumpulan punk & skinhead terbabit
dalam kes jenayah apabila mereka terlalu taksub dengan idealogi kumpulan.
Seks bebas ini juga antara masalah yang
semakin meruncing yang mana remaja yang terlibat bukan sahaja tinggal di kawasan
bandar & kota, malah turut berlaku di luar bandar. Lebih menyedihkan,
remaja yang terbabit yang berusia seawal 12 tahun. Pengaruh dari rakan-rakan
& juga video lucah antara punca berlakunya masalah seks bebas. Kes yang
kerap dilaporkan di media cetak ialah remaja perempuan yang lari dari rumah
kerana mengikut teman lelaki. Alasan yang kerap diberikan adalah tidak tahan
dikongkong oleh ibu bapa & ingin mencari kebebasan di luar. Berlakunya
hubungan seks bebas ini sehingga remaja perempuan mengandung anak yang tidak
sah taraf. Bagi remaja perempuan yang kebingungan untuk mencari jalan
penyelesaian, desakan dari rakan-rakan & teman lelaki untuk menggugurkan
kandungan & membuang bayi adalah antara penyelesaian singkat bagi mengelak
daripada menjadi tohmahan masyarakat. Namun,terdapat juga remaja yang hamil
anak tidak sah taraf tidak sanggup mengambil risiko membahayakan nyawa dengan
menggugurkan kandungan. Mereka meminta bantuan daripada pihak rumah kebajikan
untuk membimbing mereka kembali ke pangkal jalan. Kerajaan Melaka misalnya
mengambil inisiatif dengan menubuhkan sekolah remaja yang hamil anak tidak sah
taraf untuk membantu remaja ini dengan memberi perlindungan & bimbingan
kepada mereka. Walaupun cadangan ini pada awalnya mendapat reaksi negatif daripada
masyarakat, namun ia merupakan salah satu cara untuk memberi perlindungan
kepada remaja yang terjebak dalam kancah sosial.
3. Minum
Arak & Penyalahgunaan Dadah.
Sikap suka mencuba & menyahut cabaran
rakan-rakan antara sebab berlaku gejala ini. Arak boleh dibeli di kedai runcit
dijual dengan harga yang murah. Bukan perkara yang pelik jika akhbar ada
melaporkan pelajar sekolah rendah juga ada yang membeli minuman keras &
berkongsi dengan rakan-rakan mereka. Penyalahgunaan dadah juga antara masalah sosial
yang paling kerap dilaporkan. Berdasarkan kajian Yayasan Perlindungan Jenayah
Malaysia mendapati kebanyakan penagih dadah di Malaysia mula mengenali dadah
dalam lingkungan usia 13-15 tahun & 71% daripada penagih baru terdiri
daripada golongan muda yang berusia antara 19-39 tahun. Dadah bukan terhad
kepada jenis dadah yang dikenali umum seperti morfin, heroin, metaphatemin,
ganja & pil kuda, ia turut merangkumi jenis-jenis ubat yang disalahguna
seperti ubat batuk & gejala hidu gam. Tidak kira dadah, arak atau pun hidu
gam, ia membawa risiko yang amat tinggi sehingga boleh membawa maut.
4. Lumba
Haram
Gejala mula popular di kalangan remaja
sekitar akhir tahun 90 an. Alasan sering kali diutarakan oleh remaja yang
menyertai lumba haram ini adalah inginkan kebebasan & keseronokan.
Kebiasaannya, hadiah yang dipertandingkan dalam perlumbaan ini adalah wang
pertaruhan yang diperolehi dari penonton & gadis remaja daripada kumpulan
yang kalah. Mereka tidak ketinggalan menggunakan dadah. Kumpulan lumba haram ini
tidak takut kepada pemantauan pihak polis & yang paling teruk mereka tidak
takut mati setiap kali berlumba. Tidak menjadi masalah besar buat mereka
seandainya mereka pernah terbabit dalam kemalangan atau rakan mereka maut
ketika berlumba. Kumpulan ini mempunyai perasaan setia kepada kumpulan
masing-masing & sanggup terlibat dalam pergaduhan. Motosikal yang digunakan
untuk perlumbaan haram kebiasaannya telah diubah. Peratusan remaja yang
terlibat dalam perlumbaan haram ini semakin meningkat & pihak polis sendiri
semakin kerap membuat pemantauan bagi mengurangkan kes lumba haram sekaligus
mengurangkan kadar kemalangan ngeri akibat perlumbaan tersebut.
5.
Ponteng Sekolah
Senario ponteng sekolah bukanlah masalah
sosial baru di kalangan pelajar sekolah di negara ini. Daripada keseluruhan
pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97%
adalah dari kalangan pelajar lelaki & 3% adalah pelajar perempuan. Masalah
ponteng sekolah lebih ketara berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah iaitu
tingkatan 2 & 3 terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar &
sekolah di pinggir bandar. Di antara faktor yang menyebabkan berlaku masalah
ini ialah tiada minat atau motivasi untuk ke sekolah, pengaruh rakan sebaya
& pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli
belah & melayari internet di siber kafe.
Punca berlaku gejala sosial dalam kalangan remaja
1.
Peranan Ibu bapa
Seringkali dikatakan ibu bapa mempengaruhi
kejayaan remaja khasnya pelajar dalam pelajaran. Ini kerana ibu bapa yang
sentiasa memberi galakan dan perangsang sehingga mereka timbul minat, semangat
ketekunan dan keyakinan diri dalam menghadapi pelajaran. (Jamal Darus, 1989).
Ibu bapa juga yang menentukan pola-pola tingkah laku remaja. Faktor-faktor seperti
dorongan dan galakan, disiplin di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa dan anak
seta keluarga yang utuh memberi kesan ke atas pembentukan personaliti, motivasi
dan pencapaian akademik remaja yang masih bergelar pelajar. Oleh itu, ibu bapa
yang kurang memainkan peranan dalam pembentukan dan perkembangan personaliti
atau sahsiah remaja menyebabkan konflik sahsiah remaja tersebut. Ini
menyebabkan remaja mencari jalan keluar dengan bersifat agresif dan
memberontak. Remaja yang mempunyai sifat tersebut lebih gemar menghabiskan
masanya di luar rumah kerana berasa terkongkong berada di dalam rumah. Maka,
dari sini bermulanya pengaruh-pengaruh negatif yang menyebabkan remaja terlibat
dengan masalah sosial.
2.
Masalah Keluarga
Faktor yang kedua ialah masalah keluarga
seperti keluarga yang berpecah belah akibat penceraian, kehilangan tempat
bergantung dan seringkali berlaku pertengkaran di antara ibu bapa. Remaja yang
mempunyai masalah keluarga sering kali mencari tempat bagi melepaskan tekanan
yang mereka ada. Pada ketika ini, pengaruh daripada rakan-rakan banyak menjadi
punca kepada remaja untuk terlibat dalam masalah sosial. Peranan daripada ahli
keluarga lain dapat membantu mereka menentukan arah perjalanan mereka dalam
menghadapi cabaran zaman moden ini.
3.
Pengaruh Rakan Sebaya
Dalam diri remaja, pengaruh lingkungan dalam
menentukan perilaku diakui cukup kuat. Kelompok rakan sebaya diakui dapat
mempengaruhi pertimbangan dan keputusan seorang remaja tentang perilakunya.
Rakan sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri dan mempunyai pengaruh yang
ketara. Mereka dapat mempengaruhi disiplin seseorang remaja. Jika rakan sebaya
mempunyai sifat-sifat positif seperti berdisiplin dan cenderung melakukan
perkara yang menbawa kebaikan, begitu juga sifat remaja berkenaan. Tetapi jika
rakan sebaya cenderung mempunyai sifat negatif, begitu juga sikap remaja
berkenaan. Ini kerana remaja ingin dirinya diterima oleh rakan-rakan. Dengan
itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima oleh ahli kumpulannya.
Remaja yang berasal dari keluarga yang bermasalah lebih mudah dipengaruhi oleh
rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan sendiri.
Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Paling teruk atas
sebab pengaruh rakan sebaya ini akan mempengaruhi remaja terlibat dengan najis
dadah, merogol, merompak dan membunuh.
4.
Penyalahgunaan IT
Di zaman penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi yang semakin berkembang pesat di Malaysia, ibu bapa berdepan dengan
cabaran yang besar di dalam mengawal anak-anak mereka dari tidak
menyalahgunakan teknologi ini. Antara penyalahgunaan IT yang paling popular sekarang
adalah penyebaran video dan gambar lucah di telefon bimbit. Muat turun aplikasi
ini amat mudah didapati di kedai-kedai yang menawarkannya dengan harga semurah
RM5. Bermula dengan ketagihan menonton aplikasi ini, remaja ingin mencuba. Maka
terjadilah kes seks bebas dan masalah pembuangan bayi yang semakin kritikal.
Ada di antara remaja yang merakam aksi mereka melakukan hubungan seks atau
merogol beramai-ramai dan menyebarkan
rakaman tersebut di dalam internet atau kepada rakan-rakan. Penggunaan laman
web sosial seperti Facebook, Twitter dan Friendster juga boleh menjadi virus
sekiranya ia disalahgunakan. Tidak ada salahnya menambah kenalan tetapi jangan
sesekali ia dijadikan tempat untuk memaparkan gambar atau video lucah.
Disinilah terletak pentingnya peranan ibu bapa mengawal anak-anak mereka
daripada melayari laman web lucah.
5. Rasa
Ingin Tahu
Faktor lain yang membawa kepada berlakunya
masalah sosial ini adalah sikap remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru
atau sikap ingin tahu. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap
perkara yang dilarang itulah yang ingin diteroka oleh mereka. Selain itu,
remaja sekarang lebih suka kepada cabaran dan mudah terikut-ikut dengan gaya
dan gaya hidup lain daripada yang lain. Jika tidak kena pada caranya, remaja
akan terjebak dalam masalah sosial. Sebagai contoh kes hamil luar nikah,
memetik kenyataan Akhbar Utusan Malaysia (30 September 2002) menyatakan, sikap
terpedaya dan sukar mengawal hawa nafsu dikenal pasti sebagai punca utama
berlakunya gejala tersebut. Ini membuktikan, sikap remaja yang ingin mencuba
sesuatu tanpa mengetahui baik atau buruknya serta akibat yang bakal diterima.
6.
Kurangnya Didikan Agama
Jika ibu bapa tidak menerapkan ajaran agama
dalam diri remaja, sedikit sebanyak remaja tersebut kurang panduan dalam
menghadapi cabaran sosial. Pendidikan agama perlu diterap dalam diri remaja
sejak kecil. Ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadith sebenarnya
sudah cukup menyeluruh untuk dijadikan panduan hidup. Islam sudah menerangkan
secara jelas tentang bahana setiap gejala sosial jika dilakukan oleh orang
Islam. Agama-agama lain juga telah menyediakan pengajaran yang dapat dijadikan
sebagai panduan dalam hidup.
1.
Peranan Ibu bapa
Kita
telah mengetahui bahawa antara punca utama yang menjurus kepada penglibatan
remaja dalam gejala sosial ini adalah kurangnya perhatian dan kasih sayang
daripada ibu bapa dan keluarga. Bagi mengatasi masalah ini daripada terus
berlarutan, ibu bapa perlu memberi perhatian, bimbingan dan kasih sayang kepada
anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat remaja. Sekiranya ibu bapa
kurang atau tidak memberi kasih sayang yang secukupnya, maka anak-anak akan
mencari kasih sayang tersebut daripada orang lain seperti rakan sebaya.
2.
Peranan Sekolah
Pendidikan
merupakan elemen penting dalam strategi pencegahan dan sekolah merupakan
institusi penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala
sosial. Kementerian Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenal pasti,
merancang dan melaksanakan segala program dan aktiviti tindakan berhubung
dengan pendidikan pencegahan masalah sosial di peringkat sekolah dan Institut
Pengajian Tinggi untuk mewujudkan pemikiran generasi muda supaya menjauhi
gejala sosial, menyediakan alternatif berfaedah yang dapat mencegah daripada
terlibat dengan gejala sosial & mewujudkan persekitaran yang menjadikan
masalah sosial itu dibenci dan jijik.
3.
Kesedaran Diri Sendiri
Remaja
itu sendiri perlu ada kesedaran dalam menghadapi dunia yang penuh dengan
cabaran. Dalam soal ini, pemilihan rakan sebaya turut memainkan peranan dalam
membentuk sahsiah diri remaja. Remaja perlu memikirkan baik atau buruk serta
akibat sebelum melakukan sesuatu perbuatan dengan mendapatkan pandangan
daripada ibu bapa dan guru. Untuk mengelak daripada terjebak dalam masalah
sosial ini, remaja boleh melibatkan diri secara aktif dalam sukan dan kem
motivasi yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Rumusan
Semua
anggota masyarakat tidak kira peringkat bawahan atau atasan perlu mengambil
inisiatif untuk membendung gejala sosial ini dari terus menular dengan lebih
serius. Setiap individu, keluarga dan masyarakat di satu-satu kawasan perlu
bekerjasama dan mempunyai peranan dalam pencegahan gejala ini untuk memastikan
kawasan mereka bersih daripada gejala sosial ini. Masyarakat juga perlu menyokong
usaha pihak lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dalam melaksanakan
program-program untuk remaja. Strategi jangka panjang ini juga untuk mewujudkan
kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang bahayanya gejala sosial ini
jika tidak dibendung. Didikan agama perlu dititikberatkan dalam keluarga agar
ia dapat dijadikan panduan.
Oleh: Vanerie Prisca a/p Edward John (A2P6)
Oleh: Vanerie Prisca a/p Edward John (A2P6)
No comments:
Post a Comment