2. Remaja
sebagai Pengguna
Amalan berjimat-cermat
Pada Hari Pengguna Malaysia 2012, Perdana
Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohammad Najib bin Tun Abdul Razak telah berucap
tentang amalan berjimat cermat yang harus diamalkan oleh semua rakyat Malaysia
kerana tahap ekonomi dunia yang semakin rumit dan merosot. Dalam satu kajian,
telah terbukti bahawa ramai rakyat Malaysia khususnya remaja mengamalkan sikap
boros dan tidak mengamalkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan seharian.
Amalan berjimat cermat haruslah menjadi prinsip hidup seseorang individu. Ramai
yang menganggap bahawa amalan berjimat cermat merupakan amalan yang tidak
membawa sebarang faedah dan menjadi penghalang bagi mereka untuk membeli
sesuatu. Amalan berjimat cermat bukanlah satu penghalang tetapi mengajar dan
mendidik rakyat Malaysia supaya tidak membelanjakan semua wang mereka dengan
membeli sesuatu yang tidak berguna. Di samping itu, amalan berjimat cermat
membawa banyak keuntungan kepada seseorang yang mengamalkannya. Terdapat banyak
kepentingan amalan berjimat cermat ke atas seseorang individu.
Amalan berjimat cermat dapat
membantu seseorang ketika susah. Seperti yang diketahui umum, apabila kita
berjimat cermat dengan menabung, kita dapat menggunakannya semasa waktu
kecemasan. Sebagai contoh, kita dapat menggunakan wang simpanan untuk membayar
bil hospital ketika sakit tanpa mengharapkan atau menunggu bantuan orang lain
yang belum tentu akan menghulurkan pertolongan. Selain itu, kita juga dapat
membantu ahli keluarga dan kawan yang berada dalam kesusahan dengan menggunakan
wang hasil daripada amalan berjimat cermat yang diamalkan sepanjang masa. Hal
ini secara langsung dapat membina perhubungan yang lebih erat dan memberikan
jaminan bahawa apabila diri kita ditimpa kesusahan, mereka pula yang akan
membantu. Jelaslah bahawa amalan berjimat cermat memberikan faedah dengan
membantu kita dan juga orang lain sewaktu ditimpa sesuatu musibah dan
kesusahan.
Dari tinta kaca yang berbeza,
amalan berjimat cermat juga penting untuk masa depan. Amalan berjimat cermat
seharusnya dipupuk oleh ibu bapa sejak
kecil. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Amalan
berjimat cermat sememangnya dapat menjamin masa depan yang cerah bagi seorang
remaja. Remaja haruslah mempraktikkan amalan berjimat cermat supaya mempunyai
wang simpanan sendiri untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading.
Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan ibu bapa yang tidak
mampu membiayai perbelanjaan yang besar untuk pendidikan anak mereka. Tambahan
pula, pelajar yang bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke luar
negara tidak perlu bergantung dan menunggu biasiswa kerajaan kerana ada
kemungkinan pelajar tersebut tidak memperolehnya. Amalan berjimat cermat
membuka jalan mudah dan memberikan peluang kepada pelajar untuk merealisasikan
impian mereka. Dengan ini terbuktilah bahawa amalan berjimat cermat dapat
membantu seseorang itu menjamin masa depannya agar lebih cerah.
Dari kodifikasi yang berlainan,
amalan berjimat cermat juga dapat melahirkan pengguna yang bijak. Memang tidak
dinafikan bahawa amalan berjimat cermat mendidik seseorang menjauhi sikap
boros. Seseorang yang mempraktikkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan
seharian akan lebih berhati-hati dalam memilih dan membeli sesuatu barangan.
Amalan berjimat cermat akan menghalang kita daripada membeli sesuatu yang bukan
menjadi keperluan kita dan tidak memberikan sebarang faedah. Seseorang individu
itu juga akan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membelinya untuk
berjimat cermat. Langkah ini sememangnya tidak membawa apa-apa kerugian
sebaliknya membawa keuntungan kerana membeli sesuatu barang keperluan dengan
harga yang lebih murah dan berpatutan. Tuntasnya, amalan berjimat cermat
menjadikan dan mendidik masyarakat menjadi pengguna yang bijak.
Sebagai akhirul kalam, amalan
berjimat cermat banyak membawa kepentingan kepada diri kita sendiri. Di samping
itu, amalan berjimat cermat dapat dipraktikkan dengan pelbagai cara contohnya
seperti menabung wang saku yang diberikan oleh ibu bapa. Walaupun sedikit
tetapi amalan ini jika diamalkan dengan kerap akan memberikan kesenangan di
masa hadapan. Bak kata pepatah Melayu, “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”.
Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, kita haruslah
melakukan anjakan paradigma dengan memupuk amalan berjimat cermat dan
menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian supaya kita tidak
menyesal di kemudian hari. Ada pepatah Melayu mengatakan sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Pengaruh jenama memainkan peranan yang amat
penting dalam mencorakkan perbelanjaan harian pengguna. Dalam hal ini, golongan
remaja dikatakan mudah terpengaruh dengan penggunaan sesuatu jenama. Apabila
sesuatu jenama terkenal berada di pasaran, para remaja akan berusaha membelinya
dan apabila ia menjadi ikutan ramai, maka terbentuklah budaya
mengagung-agungkan sesuatu jenama itu. Ramai remaja ingin memiliki seluar
jeans, kemeja, t-shirt, jam tangan dan kasut berjenama. Antara jenama yang
sering menjadi tumpuan remaja termasuklah Calvin Klein, Donna Karan New York
(DKNY), Giorgio Armani, Guess dan sebagainya.
Remaja dikatakan sanggup membelanjakan wang
untuk mendapatkan sesuatu jenama yang mereka inginkan tanpa memikirkan
kesannya. Pemberian wang berlebihan kepada remaja secara tidak langsung
mendidik para remaja ke arah gejala perbelanjaan yang tidak sihat. Ini akan
memberi kesan yang buruk terhadap corak perbelanjaan remaja di mana mereka akan
mengamalkan sikap boros dan tidak berjimat cermat. Ibu bapa yang terlalu
memanjakan anak-anak dengan memberi kebebasan yang melampau kepada anak-anak
mereka juga mendorong remaja mengamalkan perbelanjaan yang tidak sihat.
Soalnya ialah had kebebasan perbelanjaan di
kalangan anak-anak perlu diberi perhatian. Di sini, peranan ibu bapa adalah
amat penting. Ibu bapa harus sedar tentang setiap sen yang dibelanjakan dan
diberikan kepada anak-anak mereka perlu dibelanjakan dengan sebijaknya.
Tegasnya, pendidikan asas kepenggunaan harus dipraktikkan.
Dalam pada itu, aspek pengaruh rakan sebaya
turut memainkan peranan penting. Selain ibu bapa, orang yang paling dekat
dengan remaja ialah rakan sebaya mereka. Apa yang dilakukan oleh rakan remaja
akan diikuti oleh remaja yang lain. Memandangkan pengaruh rakan sebaya amat
kuat dalam mencorakkan perbelanjaan harian remaja berkenaan, ibu bapa
seharusnya membuat pengawasan terhadap anak-anak mereka dalam soal perbelanjaan
harian.
Dalam pada itu, gejala terlalu mementingkan
sesuatu jenama dan corak perbelanjaan yang tidak sihat di kalangan remaja juga
mempunyai kaitan rapat dengan sistem pendidikan di negara kita. Pada masa
sekarang tidak ada mata pelajaran khusus tentang kepenggunaan yang diajarkan di
sekolah-sekolah. Keahlian kelab-kelab pengguna sekolah juga bukanlah sesuatu
yang diwajibkan. Hanya para pelajar yang berminat sahaja yang akan
menyertainya. Oleh itu, hanya sebilangan kecil pelajar sahaja yang mendalami
pengetahuan dalam bidang kepenggunaan ini.
Justeru
itu, untuk memastikan aspek kepenggunaan dipupuk dari peringkat awal umur
seseorang, pendidikan kepenggunaan harus ditetapkan dalam sistem pendidikan
negara kita. Ini secara langsung akan melahirkan seorang pengguna yang
berwibawa dan pintar dalam mencorak perbelanjaannya.
Iklan juga memainkan peranan dalam mempengaruhi remaja supaya membeli jenama-jenama terkenal dan mahal. Iklan-iklan berjenama ini biasanya menampilkan gaya hidup yang menarik. Iklan sebegini sebenarnya amat berjaya menarik minat remaja membeli barangan berjenama berkenaan. Disebabkan iklan mempunyai daya penarik, golongan remaja mudah terpengaruh untuk membeli barangan yang berjenama mahal walaupun barangan itu bukan merupakan suatu keperluan.
Oleh itu untuk membendung gejala ini,
iklan-iklan juga seharusnya dapat mendidik pengguna dan bukan hanya memikirkan
untuk mengaut keuntungan berlebihan semata-mata.
Secara keseluruhannya, aspek pengaruh jenama
di kalangan pengguna remaja harus diberi perhatian dari peringkat awal perkembangan
anak-anak. Kita tidak ingin melahirkan pengguna yang sangat mementingkan jenama
semata-mata sedangkan barangan yang tidak berjenama mahal juga mempunyai
kualiti dan mutu yang sama. Pengguna harus dididik untuk bijak memilih agar
tidak mudah terpengaruh dengan jenama sahaja. Barangan berjenama terkenal
biasanya dikaitkan dengan barangan yang menawarkan harga yang mahal, bermutu
tinggi dan tahan lama. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa barangan yang
tidak berjenama terkenal tidak semestinya mempunyai kualiti dan mutu yang
rendah. Apa yang penting ialah pengguna harus bijak memilih dan dapat membelanjakan
wang mereka dengan bijak.
Dalam hal ini, ibu bapa harus memainkan
peranan yang sewajarnya untuk mendidik anak-anak remaja mereka aspek kepenggunaan
yang baik dan rasional. Walau bagaimanapun untuk mencapai hasrat melahirkan
pengguna yang bijak ini, semua pihak perlu berganding bahu merealisasikannya.
Perlu ditekankan di sini bahawa kebebasan,
keunggulan, gaya dan mutu hanyalah kualiti atau sifat barang-barang berkenaan
dan bukannya sifat pemakainya. Janganlah terkeliru dengan iklan dan jenama
sahaja.
Oleh : Vanerie Prisca a/p Edward John (A2P6)
No comments:
Post a Comment