Friday 8 March 2013

Peranan Remaja Terhadap Keluarga- Vanerie Prisca(4)


4. Peranan Remaja Terhadap Keluarga

PERANAN REMAJA TERHADAP IBU BAPA

Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa demi membahagiakankehidupan mereka melalui hari tua. Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan mulia.Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk materialdan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.Antara bakti yang perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa ialah:

1.      Memberi kasih sayang

   Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkanibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya. Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak yang baik akan sentiasa berdoa kepada Tuhan untuk sentiasa mencurahkan rahmat atas ibu bapanya.

2.       Memberi perhatian

   Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan.Keadaan ini jika berterusan akan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa. Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal bahawa anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan anak-anak mereka.

3.      Memenuhi permintaan

   Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya.

4.      Melakukan apa yang disukai

   Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak disukai ibu bapa bermaknamelakukan perbuatan derhaka. Anak yang derhaka terhadap ibu bapa tidak akanmendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa yang derhaka terhadap ibu bapa akan disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas balasan di akhirat.


5.      Bercakap dengan lemah-lembut

   Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah dengan bercakap secara lemah-lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka. Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

6.      Menghadiahkan kejayaan

   Jika seseorang anak itu memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkamkepada ibu bapa. Ibu bapa sebaiknya dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

7.      Meluangkan masa bersama-sama

   Anak-anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan gembira untuk menatap wajah anak-anak mereka.

8.      Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa

   Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka sudah meninggal dunia. Kebaikan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

9.      Memberi nafkah

   Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak mampu untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat. Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan oleh ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak-anak mereka.

10.  Menyediakan tempat tinggal

   Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami,menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa. Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diurus dengan baik.
    Dapatlah disimpulkan di sini bahawa tanggungjawab anak terhadap ibu bapa boleh dilakukan dengan berbuat baik kepada mereka dengan berbakti dan berkhidmat kepada kedua-duanya sewaktu mereka masih hidup iaitu ketika mereka sihat atau sakit atau setelah meninggal dunia. Seseorang anak tidak hanya dituntut melayani dan menghormati ibu bapa sekadar berbudi bahasa, malah digalakkan memberi sumbangan kewangan bagi meringankan beban mereka. Itulah hadiah yang paling bermakna daripada seseorang anak yang dapat diberikan kepada ibu bapa.

PERANAN REMAJA TERHADAP KAKAK DAN ABANG

1.      Hormat-menghormati

   Remaja perlu menghormati adik-beradik yang lebih tua. Sikap saling hormat-menghormati harus dipupuk di kalangan remaja. Sikap ini boleh dilihat apabila wujudnya sikap bantu-membantu.

2.      Perhubungan yang baik

   Remaja perlu memastikan perhubungan yang baik dengan adik-beradik yang lebih tua. Elakkan daripada pergaduhan. Sekiranya, perhubungan tidak baik, sukar untuk saling bantu-membantu.

3.      Mendengar nasihat

   Remaja perlu mendengar nasihat orang yang lebih tua.

4.      Terima pendapat seadanya

   Sekiranya abang atau kakak memberi alasan yang tidak munasabah berkaitan sikap mahupun tingkah laku kamu, jangan sesekali cuba membetulkan atau memberi pendapat yang bertentangan dengan alasan yangdikemukakan. Cara sebegini akan membuatkan abang atau kakak berfikir dan berasa malu dengan alasan yang diberikan itu dan mungkin akan berasa bersalah dengan kenyataan yang tiada kepastiannya itu. Sebagai adik, elak berlalu pergi ketika abang atau kakak sedang bercakap. Ini kerana, ia akan mengeruhkan lagi keadaan sekaligus menambahkan kemarahan mereka.

5.      Jadi pendengar setia

   Jadilah pendengar yang setia ketika abang atau kakak menghadapi masalah atau tekanan.

6.      Fahami mood abang atau kakak

   Kemarahan yang meledak pada usia remaja adalah perkara biasa dalam kehidupan seseorang, baik remaja mahupun golongan dewasa. Setiap insan pasti mengalaminya. Rasa marah bukan kerana benci tetapi bersifat saying atau teguran. Sekiranya kamu menghadapinya, bukan masa yang sesuai untuk kamu membalas kemarahan abang atau kakak dengan rasa kebencian.

7.      Bijak kawal kemarahan

   Kadang-kadang, sikap ketidakadilan abang atau kakak boleh mendatangkan kemarahan kamu. Jangan sesekali membenci ataupun menyesal dengan sikap mereka kerana keadaan akan berubah saat kamu menerima kepastian dengan hati terbuka. Bawa bertenang dan tunggu sehingga keadaan kembali tenang.Kemudian, ambil peluang membincangkan perasaan yang kamu pendamkan itu, beberapa hari kemudian.

8.      Pelihara tutur kata yang sopan

   Apabila membincangkan sesuatu perkara dengan mereka sama ada berkaitan dengan pendapat atau permintaan, peliharalah tingkah laku dan tutur kata kamu dengan sebaik-baiknya. Kawal percakapan kamu dan jangan sesekali meninggikan suara. Sekiranya kamu bijak mengawal perasaan dan keadaan, sabar serta bercakap dalam nada yang lembut, pasti mereka akan mengikut kehendak kamu.

Peranan remaja terhadap adik-adik

   Sebagai anak yang paling tua, mereka tidak terlepas daripada tanggungjawab mereka bagi memastikan keselamatan dan kebajikan adik-adik terjamin dan mempunyai kehidupan yang berkualiti untuk masa hadapan adik-adik. Mereka harus berusaha bagi melaksanakan tanggungjawab ini di samping tidak mengabaikan keadaan diri dan perasaan mereka sendiri. Antara peranan remaja kepada adik-adik ialah :-

1. Sebagai pengganti ibu bapa sekiranya mereka tiada di rumah. Seorang abang atau kakak perlu memastikan keselamatan dan kebajikan adik-adik seperti yang telahdilaksanakan oleh ibubapa mereka. Oleh itu adik-adik tidak akan terasa terabai atau tersisih kerana mereka masih mempunyai tempat bergantung dan tempat rujukanselain ibubapa mereka.

2. Menjadi pendamai sekiranya adik-adik berada dalam konflik atau bergaduh sesama sendiri. Mereka tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah ini.

3. Memantau kelakuan dan pergaulan adik-adik. Sebagai abang atau kakak, mereka perlu tahu ke mana adik-adik pergi dan siapa rakan-rakan disekeliling adik-adik.Mereka perlu memastikan adik-adik mereka bergaul dengan orang yang betul dan boleh membimbing adik-adik mereka kearah kebaikan.

4. Menjadi contoh dan role model yang baik kepada adik-adik. Ini penting kerana adik-adik akan mengikut rentak atau perangai orang yang lebih tua dari mereka sepanjang hayat perkembangan dan pertumbuhan.

5. Memotivasikan adik-adik sekiranya mereka kurang bermotivasi. Sebagai kakak atau abang, mereka perlu sentiasa memberi nasihat kepada adik-adik supaya sentiasa berusaha untuk mencapai apa yang diingini. Ini adalah penting bagi mewujudkan semangat dalam diri adik-adik mereka untuk lebih berjaya.

6. Memberi sokongan dan dorongan supaya adik-adik berasa lebih yakin dengan apa dilakukan. Sokongan ini perlu agar adik-adik tidak berasa takut atau samar-samar untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

7. Sentiasa mengingati adik-adik untuk sentiasa bersedia dan pandai menguruskan diri sendiri ketika berada di luar atau didalam rumah. Ini penting sekiranya adik-adik mereka berada di luar dari peglihatan ibu bapa dan remaja itu sendiri.

8. Memberi pertolongan kepada adik-adik sekiranya mereka memerlukan bantuan samada dari segi kebajikan, kaunseling atau pembelajaran. Seseorang kakak atau abang tidak boleh menolak sekiranya adik-adik mereka memerlukan bantuan kerana mereka akan terasa tersisih dan boleh menimbulkan perasaan benci di kalangan adik-adik.

9. Sebagai tempat mengadu dan juga rakan-rakan kepada adik-adik. Mereka harus bersikap terbuka dan menjadi tempat untuk adik-adik meluahkan perasaan. Mereka juga perlu menjadikan diri mereka sebagai sahabat karib kepada adik-adik supaya adik-adik berasa selesa untuk berkomunikasi dan dalam masa yang sama dapat mencari jalan bagi menyelesaikan masalah adik-adik ini.

   Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai abang atau kakak, mereka juga perlu menitikberatkan soal hati dan perasaan adik-adik mereka. Kadang-kadang, perhatian yang telalu serius juga boleh mengakibatkan adik-adik ini berasa terkongkong dan rimas serta boleh menimbulkan perasaan benci dan dendam dalam diri adik-adik. Jiwa adik-adik ini akan memberontak dan melakukan apa sahaja untuk mencari ketenangan dan kebebasan.Oleh itu, remaja perlu berhati-berhati dalam melaksanakan tanggungjawab mereka agar adik-adik mereka tidak berasa terkongkong. Mereka perlu menjadi seorang abang  atau kakak yang baik dan dalam masa yang sama menjadi sahabat karib kepada adik-adik mereka serta pada masa yang sama juga mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap diri sendiri dan ahli keluarga yang lain. Ini adalah penting untuk mewujudkan keluarga yang bahagia.
 

 Oleh : Vanerie Prisca a/p Edward John (A2P6)

3 comments: