Friday 8 March 2013

Remaja Sebagai Pengguna- Vanerie Prisca (2)


2. Remaja sebagai Pengguna

Amalan berjimat-cermat

            Pada Hari Pengguna Malaysia 2012, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohammad Najib bin Tun Abdul Razak telah berucap tentang amalan berjimat cermat yang harus diamalkan oleh semua rakyat Malaysia kerana tahap ekonomi dunia yang semakin rumit dan merosot. Dalam satu kajian, telah terbukti bahawa ramai rakyat Malaysia khususnya remaja mengamalkan sikap boros dan tidak mengamalkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan seharian. Amalan berjimat cermat haruslah menjadi prinsip hidup seseorang individu. Ramai yang menganggap bahawa amalan berjimat cermat merupakan amalan yang tidak membawa sebarang faedah dan menjadi penghalang bagi mereka untuk membeli sesuatu. Amalan berjimat cermat bukanlah satu penghalang tetapi mengajar dan mendidik rakyat Malaysia supaya tidak membelanjakan semua wang mereka dengan membeli sesuatu yang tidak berguna. Di samping itu, amalan berjimat cermat membawa banyak keuntungan kepada seseorang yang mengamalkannya. Terdapat banyak kepentingan amalan berjimat cermat ke atas seseorang individu.

                Amalan berjimat cermat dapat membantu seseorang ketika susah. Seperti yang diketahui umum, apabila kita berjimat cermat dengan menabung, kita dapat menggunakannya semasa waktu kecemasan. Sebagai contoh, kita dapat menggunakan wang simpanan untuk membayar bil hospital ketika sakit tanpa mengharapkan atau menunggu bantuan orang lain yang belum tentu akan menghulurkan pertolongan. Selain itu, kita juga dapat membantu ahli keluarga dan kawan yang berada dalam kesusahan dengan menggunakan wang hasil daripada amalan berjimat cermat yang diamalkan sepanjang masa. Hal ini secara langsung dapat membina perhubungan yang lebih erat dan memberikan jaminan bahawa apabila diri kita ditimpa kesusahan, mereka pula yang akan membantu. Jelaslah bahawa amalan berjimat cermat memberikan faedah dengan membantu kita dan juga orang lain sewaktu ditimpa sesuatu musibah dan kesusahan.

              Dari tinta kaca yang berbeza, amalan berjimat cermat juga penting untuk masa depan. Amalan berjimat cermat seharusnya dipupuk oleh ibu bapa sejak  kecil. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Amalan berjimat cermat sememangnya dapat menjamin masa depan yang cerah bagi seorang remaja. Remaja haruslah mempraktikkan amalan berjimat cermat supaya mempunyai wang simpanan sendiri untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan ibu bapa yang tidak mampu membiayai perbelanjaan yang besar untuk pendidikan anak mereka. Tambahan pula, pelajar yang bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara tidak perlu bergantung dan menunggu biasiswa kerajaan kerana ada kemungkinan pelajar tersebut tidak memperolehnya. Amalan berjimat cermat membuka jalan mudah dan memberikan peluang kepada pelajar untuk merealisasikan impian mereka. Dengan ini terbuktilah bahawa amalan berjimat cermat dapat membantu seseorang itu menjamin masa depannya agar lebih cerah.  

               Dari kodifikasi yang berlainan, amalan berjimat cermat juga dapat melahirkan pengguna yang bijak. Memang tidak dinafikan bahawa amalan berjimat cermat mendidik seseorang menjauhi sikap boros. Seseorang yang mempraktikkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan seharian akan lebih berhati-hati dalam memilih dan membeli sesuatu barangan. Amalan berjimat cermat akan menghalang kita daripada membeli sesuatu yang bukan menjadi keperluan kita dan tidak memberikan sebarang faedah. Seseorang individu itu juga akan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membelinya untuk berjimat cermat. Langkah ini sememangnya tidak membawa apa-apa kerugian sebaliknya membawa keuntungan kerana membeli sesuatu barang keperluan dengan harga yang lebih murah dan berpatutan. Tuntasnya, amalan berjimat cermat menjadikan dan mendidik masyarakat menjadi pengguna yang bijak.

                Sebagai akhirul kalam, amalan berjimat cermat banyak membawa kepentingan kepada diri kita sendiri. Di samping itu, amalan berjimat cermat dapat dipraktikkan dengan pelbagai cara contohnya seperti menabung wang saku yang diberikan oleh ibu bapa. Walaupun sedikit tetapi amalan ini jika diamalkan dengan kerap akan memberikan kesenangan di masa hadapan. Bak kata pepatah Melayu, “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, kita haruslah melakukan anjakan paradigma dengan memupuk amalan berjimat cermat dan menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Ada pepatah Melayu mengatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

 Pengaruh jenama terhadap remaja

   Pengaruh jenama memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan perbelanjaan harian pengguna. Dalam hal ini, golongan remaja dikatakan mudah terpengaruh dengan penggunaan sesuatu jenama. Apabila sesuatu jenama terkenal berada di pasaran, para remaja akan berusaha membelinya dan apabila ia menjadi ikutan ramai, maka terbentuklah budaya mengagung-agungkan sesuatu jenama itu. Ramai remaja ingin memiliki seluar jeans, kemeja, t-shirt, jam tangan dan kasut berjenama. Antara jenama yang sering menjadi tumpuan remaja termasuklah Calvin Klein, Donna Karan New York (DKNY), Giorgio Armani, Guess dan sebagainya.

   Remaja dikatakan sanggup membelanjakan wang untuk mendapatkan sesuatu jenama yang mereka inginkan tanpa memikirkan kesannya. Pemberian wang berlebihan kepada remaja secara tidak langsung mendidik para remaja ke arah gejala perbelanjaan yang tidak sihat. Ini akan memberi kesan yang buruk terhadap corak perbelanjaan remaja di mana mereka akan mengamalkan sikap boros dan tidak berjimat cermat. Ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak dengan memberi kebebasan yang melampau kepada anak-anak mereka juga mendorong remaja mengamalkan perbelanjaan yang tidak sihat.

   Soalnya ialah had kebebasan perbelanjaan di kalangan anak-anak perlu diberi perhatian. Di sini, peranan ibu bapa adalah amat penting. Ibu bapa harus sedar tentang setiap sen yang dibelanjakan dan diberikan kepada anak-anak mereka perlu dibelanjakan dengan sebijaknya. Tegasnya, pendidikan asas kepenggunaan harus dipraktikkan.

   Dalam pada itu, aspek pengaruh rakan sebaya turut memainkan peranan penting. Selain ibu bapa, orang yang paling dekat dengan remaja ialah rakan sebaya mereka. Apa yang dilakukan oleh rakan remaja akan diikuti oleh remaja yang lain. Memandangkan pengaruh rakan sebaya amat kuat dalam mencorakkan perbelanjaan harian remaja berkenaan, ibu bapa seharusnya membuat pengawasan terhadap anak-anak mereka dalam soal perbelanjaan harian.

   Dalam pada itu, gejala terlalu mementingkan sesuatu jenama dan corak perbelanjaan yang tidak sihat di kalangan remaja juga mempunyai kaitan rapat dengan sistem pendidikan di negara kita. Pada masa sekarang tidak ada mata pelajaran khusus tentang kepenggunaan yang diajarkan di sekolah-sekolah. Keahlian kelab-kelab pengguna sekolah juga bukanlah sesuatu yang diwajibkan. Hanya para pelajar yang berminat sahaja yang akan menyertainya. Oleh itu, hanya sebilangan kecil pelajar sahaja yang mendalami pengetahuan dalam bidang kepenggunaan ini.

   Justeru itu, untuk memastikan aspek kepenggunaan dipupuk dari peringkat awal umur seseorang, pendidikan kepenggunaan harus ditetapkan dalam sistem pendidikan negara kita. Ini secara langsung akan melahirkan seorang pengguna yang berwibawa dan pintar dalam mencorak perbelanjaannya.

   Iklan juga memainkan peranan dalam mempengaruhi remaja supaya membeli jenama-jenama terkenal dan mahal. Iklan-iklan berjenama ini biasanya menampilkan gaya hidup yang menarik. Iklan sebegini sebenarnya amat berjaya menarik minat remaja membeli barangan berjenama berkenaan. Disebabkan iklan mempunyai daya penarik, golongan remaja mudah terpengaruh untuk membeli barangan yang berjenama mahal walaupun barangan itu bukan merupakan suatu keperluan.

   Oleh itu untuk membendung gejala ini, iklan-iklan juga seharusnya dapat mendidik pengguna dan bukan hanya memikirkan untuk mengaut keuntungan berlebihan semata-mata.

   Secara keseluruhannya, aspek pengaruh jenama di kalangan pengguna remaja harus diberi perhatian dari peringkat awal perkembangan anak-anak. Kita tidak ingin melahirkan pengguna yang sangat mementingkan jenama semata-mata sedangkan barangan yang tidak berjenama mahal juga mempunyai kualiti dan mutu yang sama. Pengguna harus dididik untuk bijak memilih agar tidak mudah terpengaruh dengan jenama sahaja. Barangan berjenama terkenal biasanya dikaitkan dengan barangan yang menawarkan harga yang mahal, bermutu tinggi dan tahan lama. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa barangan yang tidak berjenama terkenal tidak semestinya mempunyai kualiti dan mutu yang rendah. Apa yang penting ialah pengguna harus bijak memilih dan dapat membelanjakan wang mereka dengan bijak.

   Dalam hal ini, ibu bapa harus memainkan peranan yang sewajarnya untuk mendidik anak-anak remaja mereka aspek kepenggunaan yang baik dan rasional. Walau bagaimanapun untuk mencapai hasrat melahirkan pengguna yang bijak ini, semua pihak perlu berganding bahu merealisasikannya.

   Perlu ditekankan di sini bahawa kebebasan, keunggulan, gaya dan mutu hanyalah kualiti atau sifat barang-barang berkenaan dan bukannya sifat pemakainya. Janganlah terkeliru dengan iklan dan jenama sahaja.
 

 




Oleh : Vanerie Prisca a/p Edward John (A2P6)
 
  
 

No comments:

Post a Comment